Saban hari menghirup udara anugerah Ilahi. Melihat ciptaanNya yang indah lagi jelita belaka. Memerhati setiap perkembangan di sekeliling. Sedang aku duduk berseorangan, melihat gelagat manusia yang mempunyai pelbagai ragam. Ada yang sedang bersedih, bergembira, bermurungan, dan sebagainya. Keadaan sekeliling menggelitik qalbuku sejenak. Terkikih-kikih tawa di dalam hati melihat begitu indah ciptaan Allah, Tuhan yang satu. Terbit rasa syukur kerana di beri peluang untuk menghayati setiap detik hidup yang entah bila pengakhirannya. Mati itu pasti. Setiap yang bernyawa itu pasti akan pulang ke pangkuan maha pencipta.
Disebalik setiap keindahan ada tersirat dugaan yang dilontarkan untuk menguji tahap kekuatan seseorang. Setiap orang lain dugaannya, bak kata orang putih 'Everyone have different stories'. Untuk kita memahami situasi seseorang itu sukar jika kita tidak berada di tempatnya dan tidak melalui liku-liku hidupnya. Jangan terlalu mudah untuk kita menghakimi seseorang jika kita tidak tahu apa isi sebenar yang terkandung dalam penceritaan hidup mereka. Kadangkala, setiap kesalahan, kesilapan atau kekhilafan yang dilakukan bukan dibuat kerana suka-suka. Bagi sesetengah ciptaan Allah, mereka melakukan itu kerana terpaksa. Bersyukurlah kamu jika dilahirkan dalam keluarga yang baik-baik belaka, senang-senang belaka kerana kesenangan itu tidak dimiliki oleh semua orang. Gunakanlah anugerah itu sebaiknya penghuni alam sekalian.
Manusia biasanya memandang enteng terhadap sebahagian yang terlibat dalam kes-kes jenayah,gejala sosial dan gejala yang bersifat negatif. Mengapa? kerana kita semua tahu perbuatan itu bertentangan dengan undang-undang negara mahupun undang-undang Islam. Dalam islam, manusia dilarang sama sekali untuk berdekat dengan kemungkaran lagi-lagi melakukannya. Mereka boleh dianggap sebagai golongan fasik. Dek kerana itu, kita semua begitu anti dengan mereka berperilaku negatif. Kerana ia boleh mempengaruhi orang lain yang tidak mempunyai iman yang teguh. Pernahkah terlintas dalam akal fikiran kita, mengapa mereka berbuat sedemikian? Pernahkah hati terdetik mengatakan mereka berbuat demikian kerana mereka berasal dari keluarga yang kurang pendapatan? Pernahkah hati terdetik mengatakan mereka melakukan perkara itu kerana tiada seorang pun di antara golongan senang memberi peluang kepada mereka untuk mencari rezeki yang halal? Pernahkah di antara golongan berada ini berfikiran positif terhadap mereka walau hanya sebesar zarah? Pernahkan kita semua fikir, kita juga berkemungkinan salah satu punca mereka berbuat demikian?
Kadangkala kita semua alpa dengan kesenangan hidup, sehingga mereka yang kurang bernasib baik itu ditindas, dihina, dicaci maki tanpa belas kasihan. Perkara demikian mendorong mereka untuk memberontak dan melakukan perkara yang diluar jangkaan seperti mencuri, merompak, merogol, bergaul bebas dengan jantina yang bertentangan, dan sebagainya. Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana boleh meruntuhkan akhlak seseorang dan mempengaruhi orang sekeliling. Sebagai masyarakat yang berperikemanusiaan, kita seharusnya bantu golongan ini untuk mencari redha Allah, bukan menghukum mereka sesuka hati kerana hak menghukum itu hanya lah hak Maha Pencipta. Kita perlu bersangka baik atau dalam bahasa arab 'Husnuzon'. Lebih mulia jika kita mendoakan kesejahteraan hidup mereka agar Allah beri mereka petunjuk ke jalan yang lurus dan benar.
Beringatlah kita semua, bersyukurlah pada setiap inci kesenangan yang dianugerahkan Ilahi. Jangan kita sia-siakan segala kesenagan itu. Sekali terdetik sifat riak dalam diri, sekelip mata kesenangan itu boleh runtuh dan menjadi hak orang lain. Dan mungkin, hak kesenangan yang kita miliki sekarang akan beralih menjadi hak mereka yang kurang bernasib baik suatu tika dahulu. Tumbuhkan sifat rendah diri, sifat suka bantu-membantu dalam diri. Tidak lupa juga untuk bersangka baik sesama manusia. Jangan menghakimi hidup seseorang jika kita tidak tahu perjalanan hidup mereka.